Faktor-faktor yang menggalakkan Industri Pelancongan
Thursday, 18 December 2014
FAKTOR-FAKTOR YANG MENGGALAKKAN INDUSTRI PELANCONGAN..
Dalam era pascakemerdekaan ini, negara kita semakin hari semakin disanjung tinggi oleh negara-negara lain. Hal in demikian kerana, negara kita berjaya mencapai pelbagai pembangunan dalam setiap aspek. Malahan ,Malaysia berjaya mengukir nama di persada dunia dalam aspek ekonomi yang mantap. Dalam hal ini, negara tercinta kita memanfaatkan industri pelancongan bagi merealisasikan impian negara. Sehunbungan dengan itu, sektor tersebut juga berjaya membangunkan ekonomi negara kita dengan lebih berkesan. Namun begitu, persoalan yang sering membelenggu minda kita ialah apakah faktor-faktor yang menjadi kunci bagi membangunkan industri pelancongan dengan efisien? hal ini demikian kerana, faktor yang dimaksudkan bukan sahaja mengembangkan industi pelancongan malah dapat meningkatkan ekonomi negara.
Dalam konteks ini, beberapa faktor yang menggalakkan industri pelancongan di Malaysia. Antaranya termasuklah, kedudukan strategik yang berada berhampiran dengan garisan khatulistiwa. Hal ini demikian kerana, kedudukan ini memastikan iklim di negara kita sentiasa panas dan lembap sepanpang tahun. Selain itu, taburan hujan tahunan di Malaysia adalah lebat sepanjang tahun iaitu sekitar 2600mm setahun. Dengan demikian, negara kita menjadi tarikan pelancong sama ada kepada pelancong dari atas angin ataupun bawah angin. Di samping itu, negara kita juga mengalami suhu yang sederhana dan hampir sekata sepanjang tahun. Buktinya, min suhu tahunan kira-kira 27 darjah celsius. Keadaan ini mampu menyesuaikan dan menyelesakan para pelancong dari mana-mana negara jua. Selain itu, Malaysia juga bebas daripada ancaman taufan dan siklon tropika disebabkan oleh kedudukannya. Maka, para pelancong tidak perlu bimbang akan keselamatan mereka kerana negara kita bebas daripada segala ancaman yang mampu meragut nyawa. Tuntasnya, kedudukan negara kita sendiri merupakan faktor yang menggalakkan industri pelancongan.
Bukan itu sahaja, Malaysia juga banyak memiliki destinasi pelancongan yang mampu memikat pelancong. Hal ini demikian kerana, faktor utama seseorang pelancong datang ke sesebuah negara termasuklah kerana destinasi pelancongan yang menarik. Dalam hal ini, negara kita memiliki destinasi di kawasan tanah tinggi, pinggir laut dan pulau. Jika dihalusi, kawasan tanah tinggi di negara kita mempunyai pemandangan yang indah serta udaranya segar dan nyaman. Keadaan ini membolehkan kawasan tanah tinggi dibangunkan sebagai pusat pelancongan. Contohnya, Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting, Bukit Fraser di Pahang, Bukit Larut di Perak, Gunung Kinabalu di Sabah, dan Bukit Bendera di Pulau Pinang. Disamping itu, kawasan pinggir laut negara kita juga berpotensi untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan. Buktinya, banyak pelancong berkunjung ke Port Dickson, Teluk Cempedak, Pantai Cahaya Bulan, dan Batu Feringgi, terutamanya pada musim cuti. Selain itu, pulau-pulau di negara kita terkenal sebagai kawasan pertumbuhan batu karang dan mempunyai pantai berpasir yang berair jernih dan indah mampu menjadi daya tarikan pelancong. Misalnya, Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor, Pulau Redang dan Pulau Kapas. Tuntasnya, pemilikan destinasi pelancongan yang menarik menjadi faktor yang mengembangkan industri pelancongan.
Bertitik tolak daripada itu, kemudahan yang disediakan di Malaysia juga menjadi faktor menggalakkan industri pelancongan di negara kita. Hal ini demikian kerana, kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, tandas, bekalan air, dan bekalan elektrik menjadi faktor utama dalam menarik kehadiran pelancong ke Malaysia. Malahan, tempat pengnapan yang selesa dan lengkap akan mendorong seseorang pelancong untuk tinggal lebih lama di negara kita. Dalam hal ini, Malaysia telah memberi perhatian dan berusaha untuk meningkatkan kemudahan ini. Selain itu, Malaysia telah memajukan kemudahan prasarana kelas pertama. Kemudahan prasarana yang dimaksudkan ialah sistem pengankutan dan perhubungan. Hal ini demikian kerana, kebanyankan pelancong yang datang ke negara kita adalah untuk menikmati keindahan pulau dan pantai. Maka, kerajaan kita telah menyediakan perkhidmatan bot dan feri dari tanh besar ke beberapa pulau.Secara tidak langsung, faktor ini menggalakkan industri pelancongan di Malaysia.
Sudah terang lagi bersuluh, budaya masyarakat Malaysia yang unik dan istimewa turut menjadi salah satu faktornya. Sebagaimana kita mengetahui Malaysia terdiri daripada daripada masyarakat majmuk. Dalam hal ini, setiap kaum mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Tamsilnya, agama, budaya, dan bahasa yang berbeza dan hal ini mampu menarik minat para pelancong. Hal ini demikian kerana, para pelancong asing yang berkunjung ke negara kita akan menimbulkan rasa ingin tahu tentang ciri-ciri pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, masyarakat Malaysia amat unik dengan sikap peramah dan tolong-menolong kepada sesiapa yang memerlukan bantuan. Dengan demikian, para pelancong asing tidak akan berasa bahawa dirinya terasing daripada bumi ini. Sebaliknya, mereka akan membiasakan diri dengan suasana negara kita apabila rakyat Malaysia sudi membantu mereka yang memerlukan pertolongan. Selain itu, masayarakat kita yang bertoleransi memainkan peranan yang penting dalam isu ini. Hal ini demikian kerana, sikap bertolak ansur mampu memastikan negara kita tidak mengalami suasana huru-hara. Dengan demikian, para pelancong akan berasa selamat untuk mengunjungi negara kita. Tegasnya, sikap masyarakat Malaysia yang murni ini juga mendorong perkembangan sektor pelancongan.
Kesimpulannya, industri pelancongan banyak memberi manfaat yang tindak ternilai kepada negara kita. Oleh hal yang demikian, semua pihak di negara kita harus berganding bahu bagi memperkasa sektor pelancongan sebagai sektor yang mampu membangunkan ekonomi negara kita. Jika tidak, negara kita terpaksa mengalami kemunduran yang menyebabkan negara kita tidak berkembang maju. Justeru, pelbagai strategi yang efektif haruk disusun bagi mengembangkan sektor pelancongan.
Subscribe to:
Posts (Atom)